PETALING JAYA – Tindakan tiga rakan membantu seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang dipercayai menghadapi kesukaran ketika berada di stesen tren LRT meraih perhatian ramai di media sosial.
Menerusi satu hantaran di laman Threads oleh pengguna dikenali sebagai @Baeanna, wanita itu berkongsi pengalaman membantu seorang pakcik yang mengalami masalah pendengaran ketika berada di dalam tren berkenaan.
Menurutnya, lelaki tersebut difahamkan telah beberapa kali menjerit meminta bantuan daripada penumpang lain di dalam tren, namun tindakannya itu tidak dipedulikan.
Situasi berkenaan membuatkan dirinya bersama dua rakannya berasa sebak sebelum mereka mengambil keputusan untuk membantu pakcik tersebut sehingga tiba ke destinasi yang ingin dituju.
Tambahnya, mereka turut berpeluang mempelajari beberapa bahasa isyarat ketika cuba berkomunikasi dengan lelaki berkenaan sepanjang perjalanan.
“Mula-mula kami hampir nangis lepas tengok ada seorang penumpang ni tidak hiraukan dia . Lepas tu kami fikir kalau kejadian seperti itu jadi kepada ayah sendiri.
“Kemudian kawan-kawan saya buat ‘eye contact’ dengan dia dan memutuskan untuk membantunya. Pakcik tu sangat baik, dia malah puji kitorang semua,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan wanita tersebut dan rakannya yang tampil membantu lelaki berkenaan.
“Bangga dengan awak! Semoga Allah permudahkan urusan atas kebaikan sis dan rakan-rakan kerana kemuliaan hati korang. Banyak pahala awak dapat,” komen @Bungaselatan.
“Kesiannya dia. Harap rakyat Malaysia lebih sensitif dengan orang yang betul-betul memerlukan bantuan. Saya faham banyak scam sekarang ni, tapi jangan terus cakap ‘tidak’ masa awal-awal tu. Semoga pakcik ni sihat dan sentiasa dipermudahkan,” komen @Sook_kei.- KOSMO! ONLINE














