KOTA BHARU – Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan asas menjelang sambutan Aidilfitri mencukupi dan mampu menampung permintaan orang ramai di seluruh negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini, bekalan barangan asas termasuk beras, bawang merah dan keperluan dapur lain berada dalam keadaan stabil.
“Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan stabil menjelang Aidilfitri. Jadi, orang ramai boleh membeli seperti biasa dan tidak perlu membuat pembelian panik.
“Tinjauan mendapati harga barangan makanan masih berada pada paras normal, walaupun terdapat sedikit perbezaan antara negeri,” katanya pada sidang akhbar semasa hadir ke Program Sentuhan Agro Madani – Majlis Pelancaran Karnival Cahaya Aidilfitri dan Majlis Iftar Kasih di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, beliau mengakui bekalan santan ketika ini berdepan sedikit kekangan, namun usaha untuk memulihkannya menjelang Aidilfitri sedang dilakukan bagi menstabilkan bekalan bahan tersebut. – KOSMO! ONLINE














