fbpx
Tertuduh dibawa anggota polis dan peguam di Mahkamah Sesyen Klang.-Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED/KOSMO!

Jaga nafi miliki pistol, peluru tak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru tanpa kebenaran sah, minggu lalu.

M. Saiman, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa memiliki sepucuk pistol model Mar­cas Registradas Smith & Wesson Springfield dan empat butir peluru hidup tanpa kebenaran yang sah di sebuah rumah di Taman Sentosa Ria di sini, kira-kira pukul 03.20 petang, 25 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi tidak menawarkan jaminan kerana Seksyen 12 (1) Akta Senjata Api memperuntukkan secara spesifik bahawa ia tidak boleh dibenarkan bagi seseorang yang didakwa atas kesalahan itu.

Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M. Partiben memohon budi bicara mahkamah kerana anak guamnya menghidap asma dan perlu menjalani rawatan perubatan.

“Selain isteri, dia yang bergaji RM2,200 sebulan sebagai pengawal keselamatan mempunyai tanggungan enam anak termasuk yang masih bersekolah,” katanya.

Sharifah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan dan perubatan tertuduh akan diuruskan Jabatan Penjara. Sebutan semula kes ditetapkan 27 April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN