JAKARTA – Indonesia mula memindahkan berpuluh-puluh rakyatnya dari Iran hari ini, kata seorang pegawai kementerian luar ketika perang di Asia Barat memuncak.
Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Republik Islam itu serta serangan balas Iran di rantau tersebut menyebabkan puluhan ribu warga asing terkandas selepas penerbangan dibatalkan dan ruang udara ditutup.
Mereka termasuk 329 warga Indonesia di Iran, yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar di bandar Qom.
“Pemindahan rakyat Indonesia di Iran akan bermula secara berperingkat hari ini dengan fasa pertama akan dilaksanakan melalui Azerbaijan,” kata pegawai kementerian luar Heni Hamidah kepada pemberita di Jakarta.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada 32 warga Indonesia itu dijangka tiba di Jakarta pada Isnin atau Selasa ini, katanya.
Heni enggan mengesahkan laporan bahawa pemindahan itu akan berlaku melalui jalan darat.
“Laluan pemindahan akan ditentukan berdasarkan keadaan di lapangan,” katanya.
Pemerintah buat masa ini tidak mempertimbangkan untuk membawa pulang warga Indonesia yang berada di negara-negara Asia Barat lain. Menurut kementerian sama, kira-kira 500,000 raktar Indonesia tinggal di Asia Barat.
Sebelum ini, Presiden Prabowo Subianto telah menawarkan diri untuk bertindak sebagai perantara dalam konflik tersebut.
Bagaimanapun, Duta Iran ke Indonesia, Mohammad Boroujerdi berkata pada minggu lalu bahawa Tehran tidak akan berunding ‘dengan negara yang melancarkan permusuhan terhadapnya’. – AFP














