KUALA LUMPUR – Enam lelaki tempatan termasuk tiga remaja bawah umur ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan kumpulan militan Islamic State (IS) menerusi operasi khas pada bulan lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, operasi di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu pada 14 dan 15 Februari lalu itu dilakukan hasil risikan dan perkongsian maklumat berkaitan aktiviti berkenaan secara dalam talian.
Katanya, perkara itu merangkumi penyebaran ideologi radikal, merekrut, mempromosi bahan propaganda dan merancang serangan melibatkan golongan belia, remaja dan kanak-kanak.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia 16 hingga 21 tahun. Tiga daripada mereka merupakan remaja berusia bawah 18 tahun.
“Tangkapan dan rampasan dibuat mengikut prosedur di bawah Akta Keselamatan Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012 tanpa mengabaikan hak yang termaktub di bawah Akta Kanak-Kanak-2001 dan Konvensyen Tentang Hak Kanak-Kanak.
“Polis merampas bahan-bahan berkaitan IS dan barangan milik suspek antaranya 11 buah telefon bimbit, dua buah komputer riba, external hard disk, empat bendera IS, sehelai baju berlogo IS dan tiga buah buku berunsurkan ekstremis,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, siasatan mendedahkan selain berbaiah atau lafaz ikrar taat setia kepada pemimpin IS, suspek juga memberi sokongan dengan merekrut ahli baharu, memiliki bahan berkaitan IS dan aktif mempromosi kumpulan pengganas di media sosial termasuk rancang serangan ke atas balai polis dan fasiliti kepentingan awam.
“Kesemua suspek disiasat di bawah Bab 6A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan keganasan dan peruntukan di bawah SOSMA,” katanya.
Tambahnya, pihak pendakwaan bersetuju untuk menuduh kesemua suspek di mahkamah atas beberapa pertuduhan termasuk mempromosi kumpulan pengganas melalui media sosial, menjadi atau mengaku keahlian serta memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas. – KOSMO! ONLINE














