PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan beberapa perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan Pengurusan Tertinggi Perkhidmatan Awam berkuat kuasa Isnin depan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perubahan tersebut yang melibatkan enam jawatan tertinggi itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kepimpinan pentadbiran awam selaras tuntutan reformasi perkhidmatan awam.
Antara perubahan itu ialah pelantikan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.
“Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin, yang sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Kastam dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu yang kini Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan akan bertukar penempatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Datuk Rahimi Ismail yang sebelum ini merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.
Pada masa sama, Datuk Noor Azman Abdul Rahman yang kini Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
“Selain itu, Datuk Amran Ahmad yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Perubahan tersebut merupakan manifestasi kepada tuntutan reformasi yang memerlukan kepantasan serta ketangkasan luar biasa dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.
Jelasnya, perkhidmatan awam perlu lebih telus dan berintegriti dalam melahirkan sektor awam yang lebih berdaya saing serta relevan dengan peredaran zaman.
“Berlandaskan prinsip #taatsetia setiap pelantikan ini membawa amanah besar untuk memperkukuh kerjasama antara agensi dan membuktikan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Raja serta negara dalam merealisasikan visi Malaysia Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE














