MELAKA – Penantian lebih lapan tahun enam beradik yatim piatu untuk memiliki dokumen pengenalan diri akhirnya menampakkan sinar apabila dua daripada mereka berjaya menerima MyKad baru-baru ini.
Enam beradik tersebut ialah Nur Aziza, 19; Ahmad Bahrom, 18; Mohammad Hadrul, 17; Khalid, 16; Mohammad Said Maulidin, 13; dan Siti Khadijah, 11.
Dua beradik yang menerima MyKad, Khalid dan adiknya, Mohamad Said, berkata, mereka kini lega kerana tidak lagi perlu risau mengenai masa depan tanpa dokumen pengenalan diri.
Khalid yang merupakan pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong berkata, ketiadaan MyKad sebelum ini membuatkan dia bimbang sekiranya tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau meneruskan pelajaran.
“Perasaan saya sangat gembira dan tak sangka akhirnya dapat MyKad. Bila tengok MyKad itu, rasa macam nampak masa depan saya.
“Sebelum ini saya risau kalau tak dapat MyKad, tahun depan saya nak ambil SPM. Sekarang rasa sangat lega,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tangga Batu di sini, semalam.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundur), Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau mula membantu anak-anak terbabit mendapatkan sijil kelahiran dan MyKad sejak 2018, selepas kematian ibu dan bapa mereka.
Menurutnya, ibu mereka yang merupakan warga Filipina meninggal dunia pada 2016, manakala bapa berasal dari Sabah meninggal dunia pada 2021.
“Mereka ini tidak didaftarkan kelahiran menyebabkan mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan MyKad.
“Proses mendapatkan sijil kelahiran dan MyKad juga berdepan kesukaran kerana banyak dokumen tidak lengkap termasuk tiada sijil nikah dan dokumen kelahiran ibu bapa,” katanya.
Menurutnya, usaha mendapatkan MyKad bagi empat yang lain sedang dalam proses dengan bongsu hanya boleh memohon MyKad apabila berumur 12 tahun pada Mei tahun depan, manakala tiga lagi perlu melalui prosedur lain dan dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan.
Nor Azman menambah, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mempercepatkan proses berkenaan dan memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan serta peluang pendidikan.
Terdahulu, Kosmo! pada 2021 turut melaporkan nasib enam beradik terbabit yang tidak mempunyai sijil kelahiran mendapat perhatian Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang hadir di kediaman di Tangga Batu untuk menyerahkan dokumen berkenaan.
Enam beradik itu dikatakan tidak mempunyai sijil kelahiran disebabkan status perkahwinan ibu dan bapa mereka diklasifikasikan sebagai perkahwinan tidak teratur oleh JPN.- KOSMO! ONLINE














