SHAH ALAM – Seorang lelaki berdepan detik menakutkan apabila disamun dua lelaki bersenjatakan parang sebelum dipaksa mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dalam kejadian di sebuah apartmen di Seksyen 13, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia 20-an berada seorang diri di rumah sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, suspek kemudiannya bertindak mengambil barangan seperti dompet mengandungi wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan kunci rumah serta kereta milik mangsa.
“Suspek seterusnya memaksa mangsa menaiki kereta miliknya sendiri sebelum membawanya ke sebuah mesin ATM berhampiran bagi mengeluarkan wang simpanan.
“Ketika mangsa sedang mengeluarkan wang, dia menyedari kehadiran orang awam lalu menjerit meminta pertolongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, tindakan mangsa itu menyebabkan kedua-dua suspek panik sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta milik mangsa.
Tegas Ramsay, usaha mengesan dan menahan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang
mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Insp Muhammad Naqiuddin Bin Nawawi di talian 012-3848103 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














