SEREMBAN – Ibu pemandu Honda Jazz didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari kerana membenarkan anaknya memandu tanpa lesen sehingga menyebabkan kematian tiga remaja di persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Heights, Senawang, di sini tahun lalu.
Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Farahidayah A Rahman, 41, selepas wanita itu selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan.
Nurul Azuin memutuskan demikian setelah mendengar hujahan mitigasi dan faktor pemberatan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan. Sekiranya gagal membayar denda, OKS boleh dipenjara selama tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, Nur Farahidayah sebagai pemilik Honda Jazz membenarkan kanak-kanak memandu kereta itu tanpa lesen yang sah di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Height pada pukul 8.30 malam, 6 Mac lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Nur Farahidayah pula diwakili peguam Johan Radzi.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, sebuah kereta Honda Jazz dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun gagal berhenti di simpang lampu isyarat merah sebelum melanggar dua motosikal.
Dua remaja disahkan maut di lokasi kejadian. Mereka ialah Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16. Seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada 10 Mac tahun lalu.- KOSMO! ONLINE














