fbpx
AARON (kanan) dan Wooi Yik tekad memburu gelaran pertama di All England selepas dua kali menjadi naib juara pada edisi 2019 dan 2024. - SHIDDIEQIIN ZON

All England: Aaron-Wooi Yik hampiri pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan misi memburu gelaran sulung pada Kejohanan Badminton All England di Birmingham selepas mara ke pusingan separuh akhir.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Utitlita Arena sebentar tadi, bekas juara dunia itu mencatat kemenangan tiga set 21-16, 20-22, 21-14 ke atas rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam tempoh 61 minit.

Turun sebagai pilihan kedua, Aaron-Wooi Yik memulakan perlawanan dengan cukup baik apabila berjaya menguasai sebahagian besar set pertama sehingga meletakkan Wei Chong-Kai Wun dalam keadaan tertekan.

Walaupun cuba diberikan tentangan sengit, namun gandingan No.2 dunia itu dapat mengekalkan fokus sebelum memastikan kemenangan 21-16, sekali gus meraih tonik terbaik untuk aksi set kedua.

Aaron-Wooi Yik berjaya mengekalkan momentum apabila mendahului set kedua dengan perbezaan mata agak besar 16-11, namun fokus mereka sedikit terganggu ketika hujung permainan sebelum tewas 20-22 dan terpaksa bermain dalam set penentuan.

Memasuki set ketiga, bekas juara Asia itu kembali mendapatkan semula fokus selain mengeluarkan permainan sebenar untuk mendahului Wei Chong-Kai Wun dengan kedudukan cukup selesa 11-3.

Aaron-Wooi Yik yang merupakan naib juara All England dua kali kemudiannya tidak mensia-siakan kelebihan dimiliki apabila mengutip mata demi mata sebelum menang 21-14, seterusnya mara ke separuh akhir.

Menjelang aksi separuh akhir esok, mereka akan membuat perhitungan menentang beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi yang menewaskan pasangan Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat 21-16, 21-10. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI