PETALING JAYA – Seramai 227,512 penumpang telah telah menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi tempoh 13 hingga 22 Februari sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 72 peratus berbanding 132,636 penumpang bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Jelas beliau, peningkatan itu mencerminkan keyakinan penumpang terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan ETS sebagai mod perjalanan utama ketika musim perayaan.
“Peningkatan juga didorong oleh keperluan perjalanan yang lebih tinggi ketika musim perayaan, selain kecenderungan pengguna memilih ETS sebagai alternatif yang lebih lancar untuk mengelakkan kesesakan trafik jalan raya yang lazimnya meningkat pada waktu puncak perayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azlan Shah berkata, dari segi jualan tiket, sambutan pengguna sangat menggalakkan dengan 182,934 tiket berjaya dijual, bersamaan 99.79 kadar jualan tiket bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
“Prestasi ketepatan masa (punctuality) perkhidmatan ETS turut mencatat peningkatan kepada 86 peratus pada tahun ini, berbanding 80 peratus pada tahun 2025,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi memenuhi permintaan tinggi sempena musim perayaan berkenaan, KTMB menyediakan sebanyak 60 perjalanan tren ETS secara keseluruhan.
Menurunya, ia adalah jumlah tertinggi yang pernah ditawarkan kepada para penumpang setakat ini.
“Peningkatan signifikan ini direalisasikan hasil penerimaan penuh 10 set ETS3 baharu, sekali gus membolehkan KTMB mengoptimumkan kapasiti perkhidmatan pada tahap maksimum demi memastikan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan selesa, selamat dan tepat pada masanya.
“Paling istimewa, pada tahun ini juga KTMB memperkenalkan empat perjalanan tren EMU Plus khusus bagi laluan KL Sentral – Ipoh bagi membantu kelancaran pergerakan penumpang untuk pulang beraya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














