SHAH ALAM – Polis menumpaskan dua kegiatan penyeludupan migran menerusi dua siri tangkapan berasingan di daerah Sekinchan dan Sabak Bernam, baru-baru ini.
Operasi pada Isnin dan awal pagi tadi itu menyaksikan seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta seorang tekong darat berusia antara setahun hingga 53 tahun ditahan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan pertama dilakukan sepasukan anggota bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Pasir Panjang, Sekinchan.
Katanya, pemeriksaan kemudiannya menemukan seorang lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai tekong darat bersama sembilan penumpang warga asing.
“Siasatan mendapati kenderaan tersebut membawa enam lelaki dan tiga wanita warga asing yang dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan digunakan itu bersama satu rangkai kunci kereta, dua telefon bimbit pelbagai jenama serta sekeping kad pengenalan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Shazeli menambah, operasi kedua dilakukan pukul 3.30 pagi tadi adalah hasil intipan selama enam jam di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Semenanjung Bernam 2, Kampung Sekendi, Sabak Bernam.
Serbuan itu melibatkan JSJ D7 IPK Selangor bersama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19 serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
“Hasil serbuan tersebut, seramai 32 warga asing berjaya ditahan termasuk tiga kanak-kanak,” jelasnya.
Shazeli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE














