WASHINGTON – Senat Amerika Syarikat (AS) menolak usul untuk menghentikan operasi ketenteraan Presidennya, Donald Trump terhadap Iran selepas majoriti Senator Republikan mengundi menentangnya.
Parti Demokrat sebelum ini mendesak agar sebarang tindakan lanjut memerlukan kelulusan Kongres, namun undian 47 menyokong dan 53 menolak menggagalkan usaha tersebut.
Keputusan itu membolehkan tindakan ketenteraan diteruskan walaupun terdapat kebimbangan bahawa konflik semakin merebak di Asia Barat tanpa strategi keluar yang jelas.
Sementara itu, pentadbiran Trump menjangka operasi boleh berlarutan sehingga lapan minggu, dengan Iran masih berupaya melancarkan serangan balas.
Usul tersebut, yang dibentangkan sebagai war powers resolution, bertujuan memastikan sebarang tindakan ketenteraan tambahan memerlukan kelulusan Kongres.
Situasi tegang itu turut menyaksikan senator-senator Demokrat memenuhi dewan dan kekal berada di tempat duduk masing‑masing ketika undian berlangsung, ia merupkan satu simbol bahawa isu tersebut membawa implikasi besar terhadap anggota tentera Amerika Syarikat serta kestabilan rantau berkenaan.
Ketua Minoriti Demokrat, Chuck Schumer sebelum ini menegaskan bahawa undian itu menentukan sama ada Kongres akan berpihak kepada rakyat yang semakin letih dengan konflik berpanjangan di Asia Barat atau menyokong keputusan Trump meneruskan tindakan ketenteraan tanpa mandat Kongres.
Republikan menegaskan, Presiden mempunyai kuasa yang mencukupi untuk bertindak bagi melindungi kepentingan keselamatan negara. – Agensi














