SHAH ALAM – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Negeri Sembilan adalah Jelebu.
“Bagi Sarawak, kawasan yang terjejas adalah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu), Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat) dan Kapit,” lapor MetMalaysia.
Sementara itu di Sabah, cuaca buruk dijangka berlaku di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














