SHAH ALAM – Perebutan kawasan sekuriti di tapak perumahan menjadi motif kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di Balai Polis Meru, Kapar dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua suspek terlibat mengenali satu sama lain dan terlibat dalam geng kongsi gelap.
Katanya, lapan suspek yang terlibat berusia 28 hingga 41 tahun tersebut ditahan dalam tiga operasi berasingan dengan direman sehingga esok dan lusa.
“Hasil semakan mendapati sebahagian suspek-suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah kekerasan merangkumi
kes bunuh, cubaan bunuh, samun berkumpulan, pecah rumah dan merusuh dengan senjata.
“Malah seorang daripada suspek dikehendaki dibawah Seskyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959. Punca awal kejadian ekoran perebutan kawasan sekuriti di tapak perumahan,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, siasatan turut mendapati semasa kejadian kesemua suspek itu di bawah pengaruh alkohol dengan seorang daripadanya positif dadah jenis Benzo.
Shazeli menambah, semasa kejadian juga terdapat dua anggota polis namun tiada kecederaan dilaporkan terhadap mereka.
“Kita turut merampas topi keledar dan sebatang paip besi digunakan semasa kejadian turut dirampas untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148, 427 dan 324 Kanun Keseksaan selain Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, ” jelasnya.
Beliau memaklumkan, Balai Polis Meru merupakan kawasan rumah kedai berbanding balai polis lain yang mempunyai pagar dan sentri pengawal.
“Jadi amat terhad dan hanya ada pintu hadapan terus kaunter atau pejabat. pertanyaan. Di situlah, salah satu aspek kelemahan akan diperbaiki dan diperkemaskan supaya pada masa akan datang balai polis bersifat rumah kedai ditingkatkan aspek keselamatan.
“Ini seterusnya menjamin keselamatan masyarakat yang datang ke balai polis bagi membuat laporan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














