fbpx
Gambar hiasan

Ramai rupanya ganti solat fardu ketika tarawih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Siapa sangka, di sebalik kemeriahan solat tarawih berjemaah, ada yang sedang ‘berkejar’ melunaskan tunggakan solat fardu yang ditinggalkan.

Perkara itu mula mendapat perhatian selepas satu perkongsian di media sosial oleh pengguna @suriatizain, yang meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui ramai jemaah sebenarnya berniat qada solat subuh semasa mengikut imam solat tarawih.

“Aku baru tahu rupanya ramai yang pergi tarawih, solat ikut imam tapi niat qada solat subuh,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata netizen mula menyedari kaedah tersebut sebagai penyelesaian terbaik bagi mereka yang mempunyai tunggakan solat yang banyak namun tidak mahu melepaskan ganjaran berjemaah di bulan Ramadan.

Pengguna Selempang_biru berkata, dia merupakan salah seorang yang menggantikan solat fardu semasa mendirikan solat tarawih.

“Nanti dekat akhirat bukan solat tarawih yang ditanya, tetapi solat fardu yg dihitung dan beza solat fardu dengan solat sunat 70 kali pahalanya, amat rugi kalau tidak merebut peluang ini,” ujarnya.

Sementara itu pengguna Smolslot berkata, dia juga mengambil peluang ini.

“Kalau imam solat lapan rakaat, empat rakaat saya qada subuh, kalau 20 rakaat, 10 rakaat saya qada subuh,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu ini, penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang menegaskan bahawa ulama Mazhab Syafi’i bersepakat membenarkan perbezaan niat antara imam dan makmum.

Pandangan itu turut disokong oleh penceramah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi di mana beliau mengesahkan tindakan itu adalah dibolehkan mengikut hukum syarak, khususnya bagi solat subuh yang mempunyai bilangan rakaat yang sama.

Walau bagaimanapun, umat Islam diingatkan untuk tetap mengutamakan penyelesaian hutang solat fardu (wajib) terlebih dahulu kerana ia adalah perkara utama yang akan dipersoalkan di akhirat kelak berbanding amalan sunat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN