KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM317 juta bagi tahun 2026 bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan keperluan asas terus terjamin, khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman yang berdepan cabaran geografi serta kos logistik tinggi.
Menurut Timbalan Menteri, Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh memaklumkan, peruntukan itu disalurkan melalui dua inisiatif utama yang memberi fokus kepada pengurangan kos pengangkutan dan pengukuhan rantaian bekalan.
“Sebanyak RM67 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program penyeragaman harga di Sabah dan Sarawak melalui subsidi “Port-to-Port”.
“Inisiatif tersebut menampung kos penghantaran barangan tertentu dari Pelabuhan Klang ke pelabuhan utama di Sabah dan Sarawak, sekali gus mengurangkan kesan kos logistik terhadap harga jualan kepada pengguna,” katanya di Dewan Negara.
Selain itu, RM250 juta diperuntukkan bagi Program Pengedaran Barang Perlu bagi memastikan bekalan barangan asas dihantar secara konsisten ke kawasan pedalaman.
Melalui program itu, sebanyak 1,570 Point of Sale (POS) dikenal pasti di seluruh negara, dengan 1,480 daripadanya terletak di Sabah dan Sarawak, dan subsidi disalurkan kepada syarikat pengangkutan yang dilantik melalui tender.
KPDN turut menyiapkan Kajian Penstabilan Harga yang mendapati faktor logistik antara penyumbang utama perbezaan harga antara wilayah, sekali gus membawa kepada penubuhan Kumpulan Kerja Teknikal serta kajian semula program berkenaan dalam Rolling Plan Kedua RMK-13 bagi menambah baik liputan di kawasan pedalaman.- KOSMO! ONLINE














