KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah lori treler di Kilometer 1.2 Lebuhraya Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE) dari arah Desa Tun Razak menghala ke Sri Petaling, pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd Isa berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha MT-15.
Beliau berkata, mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda Dash 125 yang ditunggang lelaki tempatan berusia 31 tahun di lorong kiri lebuh raya.
“Akibat pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh ke lorong tengah lebuh raya.
“Ketika itu, sebuah lori treler yang dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dari arah sama gagal mengelak dan membrek lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz.
“Penunggang motosikal kedua serta pemandu lori treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambah beliau, polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














