PETALING JAYA – Tindakan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyantuni seorang pemandu teksi yang pernah membawanya ke pertandingan Bintang HMI suatu ketika dahulu itu mendapat perhatian daripada orang ramai.
Tahun ini juga lebih bermakna apabila penyanyi itu menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Nurjiwa bersama masyarakat setempat, di samping menyampaikan sumbangan secara langsung kepada golongan yang memerlukan.
Menerusi satu perkongsian oleh @Yayasan.nurjiwa di media sosial, ia memaparkan pertemuan semula Siti Nurhaliza dengan pemandu teksi veteran baru-baru ini di Kuala Lipis.
“Momen yang cukup mengharukan, pak cik inilah yang pernah memandu teksi membawa Datuk Siti Nurhaliza ketika beliau menyertai pertandingan Bintang HMI suatu ketika dahulu,” kata Yayasan Nurjiwa.
Jelasnya, pada hari Siti dinobatkan sebagai juara, beliau pulang ke kampung bersama kedua ibu bapanya menaiki teksi pak cik ini dengan membawa pulang sebuah televisyen besar hasil kemenangan tersebut.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata orang ramai meluahkan rasa sebak apabila mengetahui pemandu teksi berkenaan bukan sahaja saksi perjuangan, malah individu yang membawa pulang kejayaan pertama Siti ke Kuala Lipis.
“Terima kasih pak cik, sanggup terima permintaan dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur, semoga pak cik sihat selalu,” ujar pengguna Amirul Ashraf.
Sementara itu, seorang pengguna turut memuji Siti Nurhaliza kerana sentiasa menyantuni sesiapa yang pernah berjasa padanya.
“Tokti tidak pernah lupa siapa yang bantu dia dulu,” ujar pengguna Abyad_79. – KOSMO! ONLINE






