KUALA TERENGGANU – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar enggan melayan dakwaan beliau bukanlah calon Perdana Menteri bakal ditampilkan gabungan pembangkang tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Naib Presiden Pas tersebut turut membalas, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan demikian juga bukan lagi calon Perdana Menteri PN.
Sebaliknya, Menteri Besar Terengganu berkenaan mahu fokus untuk memperkukuhkan PN bagi menghadapi PRU-16.
“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang memperkukuhkan Perikatan Nasional dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia.
“Yang pasti, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bukan lagi calon PM (Perdana Menteri),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Muhyiddin dipetik berkata, Ahmad Samsuri cuma sekadar Pengerusi PN dan bukanlah calon PM yang akan ditampilkan gabungan pembangkang tersebut.
Ahli Parlimen Pagoh tersebut berkata, pemilihan calon Perdana Menteri masih belum dibincang dan diputuskan dalam kalangan kepimpinan PN.
Bekas Perdana Menteri kelapan itu turut berkata, pemilihan Ahmad Samsuri sebagai pengerusi dipersetujui Majlis Tertinggi PN ekoran permintaan Pas. – KOSMO! ONLINE














