fbpx
MARQUEZ

Marquez bangga sebaris atlet elit dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Juara dunia MotoGP, Marc Marquez mengakui tetap merasai debaran dan keterujaan yang luar biasa selepas sekali lagi disenaraikan sebagai calon Anugerah Laureus bagi kategori Atlet Lelaki Terbaik Dunia 2026.

Ia adalah pencalonan keenam buat bintang Sepanyol itu sepanjang kariernya, namun Marquez menegaskan perasaannya ketika ini masih sama seperti kali pertama menerima pengiktirafan tersebut 13 tahun lalu.

Bagi edisi kali ini, pelumba Ducati itu bakal bersaing sengit beberapa nama besar dalam dunia sukan termasuk Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner (tenis), Ousmane Dembele (bola sepak), Mondo Duplantis (olahraga) serta Tadej Pogacar (berbasikal).

“Ini adalah pencalonan keenam saya untuk Anugerah Laureus, tetapi saya masih merasai ‘buzz’ atau getaran yang sama seperti kali pertama. Kualiti calon lain membuktikan istimewanya anugerah ini dan saya bangga berada dalam kelompok elit ini,” kata Marquez.

Pencalonan berprestij itu diraih selepas Marquez mempamerkan kebangkitan luar biasa tahun lalu apabila menamatkan kemarau kejuaraan selama lima tahun untuk merangkul gelaran dunia MotoGP dalam musim sulungnya bersama jentera Ducati.

Marquez pernah memenangi Anugerah Pendatang Baharu Terbaik Laureus pada 2013 selain beberapa kali dicalonkan kategori Atlet Lelaki Terbaik Dunia (2015, 2020) dan Kemunculan Semula Terbaik (2022, 2025).

Mengulas mengenai kejayaannya kembali ke puncak, Marquez menyifatkan tahun lalu sebagai tempoh yang sangat mencabar selepas dia terpaksa bergelut dengan kecederaan serius dan prestasi jentera kurang kompetitif sebelum ini.

“Ia adalah tahun yang menyeronokkan tetapi penuh cabaran. Saya sudah menunggu lama untuk kembali ke puncak dan musim lalu memerlukan usaha yang luar biasa,” tambahnya.

Setakat ini, hanya Michael Schumacher, Sebastian Vettel dan Lewis Hamilton merupakan wakil dunia permotoran yang pernah memenangi anugerah utama tersebut yang menjadi milik Duplantis pada edisi tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN