KUALA LUMPUR – Anggota polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menahan seorang lelaki asing disyaki terlibat dalam kes cubaan mencuri kabel berhampiran landasan kereta api di Kilometer (KM) 37.478, Telok Gadong – Teluk Pulai, petang semalam.
KTMB berkata, dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, dua anggota tersebut yang melakukan rondaan di kawasan ‘hotspot’ kecurian kabel terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan berhampiran landasan.
“Suspek cuba melarikan diri sebaik dihampiri, namun berjaya diberkas oleh anggota polis bantuan. Pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu menemui sebuah beg kecil, sebilah pisau dan gunting dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek bersama barang bukti kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada pukul 7.20 malam untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan merupakan warga asing.
Perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Pesalah bakal berdepan hukuman tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya.
KTMB memandang serius sebarang bentuk pencerobohan atau cubaan mencuri kemudahan infrastruktur rel kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan keselamatan operasi tren serta perkhidmatan kepada para penumpang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam atau mana-mana balai polis berhampiran.- KOSMO! ONLINE














