KLUANG – Seorang lelaki diberkas selepas dipercayai berkelakuan tidak senonoh di Jalan Mengkibol di sini sehingga tular dalam laman media sosial sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, lelaki berusia 50 tahun itu dikesan tidak berpakaian di tepi jalan pada pukul 7 malam sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam.
Katanya, bertindak atas maklumat awam, lelaki tersebut kemudian ditahan di Taman Sunrise Park, Kluang pada pukul 4 petang semalam. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun sekiranya sabit kesalahan.
“Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang di sini hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE














