KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti semula cadangan untuk mengehadkan pergerakan kenderaan berat di jalan raya pada musim cuti perayaan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah berkenaan pernah dilaksanakan sebelum ini, namun pihaknya menerima pelbagai maklum balas termasuk bantahan daripada sebahagian pihak yang terkesan dengan sekatan tersebut.
“Langkah itu pernah dilaksanakan sebelum ini bagi memastikan perjalanan kenderaan ringan lebih selesa dan selamat, namun pada masa sama kita juga menerima aduan serta reaksi kurang senang daripada pihak tertentu yang terjejas dengan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad di Dewan Negara hari ini mengenai kemungkinan kerajaan akan melaksanakan semula sekatan tersebut.
Alexander berkata, walaupun terdapat cabaran dari segi penerimaan, kerajaan bersedia menilai semula cadangan berkenaan bagi melihat kesesuaian pelaksanaannya pada masa hadapan.
“Kita boleh semak semula cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik cadangan pemasangan papan digital di jalan Cameron Highlands bagi membantu orang ramai mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE














