PETALING JAYA – Cuaca panas melampau yang melanda Kelantan dan Terengganu ketika ini diibaratkan seperti berada “sebelah matahari” apabila suhu dilaporkan mencecah sehingga 38 darjah Celsius sejak beberapa hari lalu.
Keadaan tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal orang ramai, malah turut memberi cabaran tambahan kepada umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai penduduk mengeluh dengan keadaan cuaca yang terlalu panas terutama pada waktu tengah hari hingga ke petang.
Rata-rata menyifatkan bahang kali ini lebih terik berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Seorang pengguna Facebook, dikenali sebagai Haziq Manaf menulis, pukul 12 tengah hari rasa macam berdiri depan dapur kayu.
“Ini puasa pula tu, memang betul-betul ujian,” katanya
“Aircond pun rasa tak mampu lawan panas. Kelantan sekarang macam duduk sebelah matahari,” tulis Siti Aisyah Omar.
Difahamkan, cuaca panas berkenaan berpunca daripada keadaan cuaca kering berpanjangan serta kurang litupan awan di kebanyakan kawasan di Pantai Timur.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar, memperbanyakkan minum air ketika waktu berbuka dan bersahur serta sentiasa memantau tahap kesihatan masing-masing.
Dalam masa sama, penduduk berharap keadaan cuaca kembali reda dalam tempoh terdekat agar ibadah Ramadan dapat dilaksanakan dengan lebih selesa.- KOSMO! ONLINE.














