PETALING JAYA – Penemuan sebuah bagasi atau ‘luggage’ di sebuah kawasan semak menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna di aplikasi Threads.
Menerusi perkongsian wanita yang dikenali sebagai Uhhlaevalaviva kelihatan bagasi tersebut telah dirantai berdekatan pagar.
Jelas wanita itu, dia bimbang dengan isi kandungan beg tersebut memandangkan ketika ini kes jenayah semakin berleluasa.
“Semenjak kongsi pasal kejadian jenayah sejak kebelakangan ini, pagi ini aku dalam perjalanan ke tempat kerja nampak ceni (bagasi) tepi jalan pun risau.
“Mencurigakan betul. Luggage siapa ini? Kenapa disini? Apa dalam tu? Kenapa dirantai?,”soalnya.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi penemuan bagasi itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meninggalkan komen berkaitan penemuan tersebut.
“Tolonglah buka, kot ada duit ke dalam tu, jatuh dari kapal terbang,” tulis Izham1.
“Jangan buka, takut ada bom, tolong telefon polis dan sentiasa berhati-hanti,” kata lieyanaaripin.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai elenee1708.
“Dikkk, jangan sebarang buka okey. Mana la tau orang lupuskan ilmu hitam atau mayat, tolong telefon polis,”nasihatnya.-KOSMO! ONLINE














