PETALING JAYA – Situasi yang jarang-jarang berlaku apabila penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ sanggup bertugas pada hari Khamis semata-mata untuk bersama tetamu undangan iaitu pelakon Nur Fazura.
Lazimnya, KJ mengendalikan segmen Bekpes Hot setiap Isnin pagi bersama tiga lagi penyampai iaitu Johan, Fara Fauzana dan AG.
Menurut Fara, KJ tetap ingin datang ke konti hari ini dan telah memotong rambutnya dengan kemas walaupun sepatutnya dijadualkan ke Melaka.
“Kita selalu ada tetamu di Hot FM tetapi kita jarang ada superstar,” kata KJ.
Kongsi KJ, dia bukan sahaja memotong rambutnya tetapi juga memakai baju kemeja hari ini.
KJ juga dilihat gugup hingga tergagap sewaktu berbual dengan Fazura lantas mencuit hati netizen yang terhibur dengan reaksinya.
“Abang kenapa abang berpeluh. Nah ambil tisu ni,” kata Fara sambil memberi tisu kepadanya.
Fazura yang cukup dikenali menerusi filem Pisau Cukur itu juga dilihat sempat mengusik KJ sehingga beliau tertunduk malu.
“Kenapa pandang depan? Adab kan ‘eye contact ‘, kata Fazura.
Kesemua barisan penyampai juga sempat melakukan video ‘Raya Pum Pang Lagi’ bersama Fazura sebelum KJ meninggalkan konti untuk pergi ke Melaka. – KOSMO! ONLINE














