PETALING JAYA – Bank digital Islamik pertama di Malaysia, AEON Bank memperkenalkan kemudahan pembayaran zakat di aplikasi perbankan digitalnya, memudahkan para pelanggan Muslim menunaikan kewajipan pembayaran Zakat Fitrah sepanjang bulan Ramadan.
Ciri pembayaran zakat ini direalisasikan melalui kerjasama strategik Tulus Digital, sebuah platform teknologi kewangan sosial Islamik yang dilantik sebagai ejen bertauliah kutipan zakat bagi pihak institusi zakat negeri termasuk Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Kerjasama ini menawarkan penyelesaian digital menyeluruh yang sah dan selamat, sekaligus membolehkan pembayaran zakat dilakukan terus di hujung jari pelanggan melalui telefon pintar mereka.
Buat masa ini, ia menyediakan kemudahan pembayaran zakat kepada LZS dan PPZ MAIWP. AEON Bank secara berperingkat akan memperluaskan lagi kemudahan ini kepada institusi zakat negeri lain dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya bahawa perbankan digital seharusnya melangkaui fungsi pengurusan kewangan, dan turut menyokong gaya hidup serta nilai murni yang dipegang oleh pelanggan.
“Dengan mengintegrasikan ciri pembayaran zakat di aplikasi AEON Bank, inisiatif ini memperkukuh usaha kami dalam melaksanakan amanah untuk memudahkan pelanggan melakukan kewajipan agama tanpa sebarang kerumitan.
“Kerjasama dengan Tulus Digital mencerminkan komitmen kami untuk menggabungkan teknologi yang beretika selari dengan tuntutan di bulan Ramadan, justeru memudahkan pelanggan menunaikan amal ibadah dengan lebih tenang, sementara kami kendalikan aspek teknikal,” katanya.

Kenapa pembayaran zakat di aplikasi AEON Bank lebih mudah dan sah
● Kemudahan di hujung jari : Tidak perlu beratur atau ke kaunter fizikal. Bayar di mana-mana, pada bila-bila masa, hanya dengan beberapa langkah mudah.
● Pilihan zakat yang komprehensif : Merangkumi 11 jenis zakat termasuk Zakat Fitrah, Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Emas, Zakat KWSP dan banyak lagi.
● Dijamin patuh shariah : Setiap transaksi diselaraskan dengan lafaz akad secara digital bagi memastikan zakat ditunaikan mengikut tuntutan shariah yang sah.
● Rekod pembayaran automatik : Resit pembayaran diterima dalam aplikasi AEON Bank dan notifikasi rasmi daripada Tulus Digital. Resit rasmi pengecualian cukai daripada institusi zakat negeri boleh diakses melalui portal rasmi mereka.

Bayar zakat dengan 4 langkah mudah
Langkah 1 : Log masuk ke aplikasi AEON Bank
Muat turun aplikasi AEON Bank dan aktifkan Akaun Simpanan-i.
Langkah 2 : Pilih ikon ‘Zakat’ pada skrin utama
Klik ikon ‘Zakat’, kemudian pilih agensi zakat bertauliah serta jenis zakat yang ingin ditunaikan.
Langkah 3 : Masukkan maklumat yang diperlukan
Lengkapkan butiran pembayaran, termasuk bilangan tanggungan atau kategori beras yang dipilih (untuk Zakat Fitrah sahaja).
Langkah 4 : Sahkan dan selesaikan pembayaran
Semak butiran, klik ‘Terma & Syarat’ serta ‘Aqad’, kemudian sahkan transaksi melalui aplikasi
AEON Bank untuk melengkapkan pembayaran Zakat anda.
Selepas pembayaran berjaya, pelanggan akan menerima:
● Resit pembayaran Zakat melalui aplikasi AEON Bank.
● Notifikasi pembayaran Zakat daripada Tulus Digital, dihantar ke alamat e-mel berdaftar.
● Resit rasmi Zakat yang dikeluarkan oleh agensi Zakat yang berkaitan, boleh diakses melalui laman sesawang agensi tersebut.
Pengarah Komersial Tulus Digital, Ubaida Othman mengulas, fokus utama pihaknya adalah menyediakan penyelesaian kewangan sosial dan pembayaran digital yang selamat serta berlandaskan shariah.
“Tulus Digital menyediakan penyelesaian pembayaran melalui integrasi API (application programming interface) dan aplikasi mudah alih terus ke dalam akaun bank institusi bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa zakat negeri, rakan korporat, dan institusi kewangan di seluruh Malaysia.
“Melalui kerjasama strategik dengan AEON Bank, kami komited untuk memperkukuh ekonomi digital kewangan Islam negara dengan menggabungkan teknologi beretika, tadbir urus shariah dan inovasi kewangan yang bermatlamat,” ujarnya.
Klik di sini untuk layari laman web AEON Bank dan muat turun aplikasi AEON Bank dengan mengimbas kod QR di bawah.- KOSMO! ONLINE















