BARCELONA – Pengendali Barcelona, Hansi Flick dihimpit perasaan bercampur baur selepas gagal mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol musim ini.
Pada perlawanan separuh akhir kedua awal pagi semalam, Barcelona hampir melengkapkan kebangkitan luar biasa apabila menang 3-0, namun ia belum cukup untuk menafikan kemaraan Atletico Madrid yang menang 4-3 secara agregat.
“Saya mencuba untuk menjadikan perkara mustahil menjadi kenyataan. Saya kecewa kerana kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol dan mampu bermain dengan baik.
“Saya bangga dengan pemain kerana mereka sudah beri segala-galanya ketika berada atas padang. Mereka cukup luar biasa namun akhirnya kami dihimpit kecewa kerana tidak dapat ke final.
“Namun, sudah pasti saya boleh rasa berbangga dengan apa yang saya lihat. Pemain sudah melakukan segala-galanya apa yang mereka mampu buat,” katanya.
Pada perlawanan di Stadium Camp Nou itu, Barcelona merekodkan 21 percubaan yang hanya menghasilkan tiga gol hasil dua jaringan Marc Bernal dan sepakan penalti daripada Raphinha.
Ia belum memadai buat Barcelona selepas tewas 0-4 kepada Atletico sewaktu separuh akhir pertama berlangsung di Stadium Metropolitano pada 13 Februari lalu.
“Apa yang berlaku adalah apa yang kami jangkakan dan kami hanya kurang satu gol. Sekarang kami kena teruskan cabaran di La Liga dan berjuang di Liga Juara-Juara Eropah,” tambah Flick. – AGENSI














