KUALA LUMPUR – Beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Kang Khai Xing tidak dapat meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton All England selepas tersingkir di pusingan kedua.
Pada perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi, bekas gandingan juara remaja dunia itu memberikan tentangan sengit sebelum tewas 19-21, 17-21 kepada beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Turun menentang beregu yang jauh lebih berpengalaman, Aaron-Khai Xing langsung tidak menunjukkan rasa gugup apabila memberi tekanan kepada pasangan China berkenaan dalam kedua-dua set permainan.
Walaupun tewas menerusi aksi straight set, namun pasangan No.33 dunia itu wajar diberikan pujian apabila berjaya mengekori rapat kedudukan Bo Yang-Liu Yi sebelum akur dengan kekalahan dalam tempoh 48 minit.
Pada aksi pusingan pertama semalam, mereka berjaya melakar kejutan terbesar apabila menyingkirkan bekas beregu No.1 dunia dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy menerusi keputusan straight set 23-21, 21-12.
Sementara itu, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut kempunan untuk meneruskan kemaraan apabila tewas 16-21, 18-21 kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Kekalahan tersebut menyaksikan gandingan suami isteri itu gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian pada edisi tahun lalu di mana mereka berjaya melangkah ke pusingan suku akhir. – KOSMO! ONLINE














