fbpx
Qasrina lega selepas dimaklumkan adik bongsunya yang menuntut di sebuah institusi pendidikan di Mesir berada dalam keadaan selamat.

Adik saya selamat di Mesir, harap dia dapat balik raya – Qasrina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelakon Qasrina Karim lega selepas dimaklumkan adik bongsunya yang menuntut di sebuah institusi pendidikan di Mesir berada dalam keadaan selamat susulan ketegangan membabitkan Iran, rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Mengikut perancangan awal, Qasrina, 30, berkata adiknya Arif Karim, 24, yang menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Mansoura dijadualkan pulang ke tanah air minggu depan.

Bagaimanapun keputusan tersebut belum dapat dipastikan memandangkan semua lapangan terbang di Mesir ditutup buat sementara waktu.

“Adik saya sekarang berada di Mesir dan dia maklumkan di tempatnya berada sekarang, semuanya baik-baik saja.

“Di sana juga ada ramai pelajar Malaysia dan ada komuniti pelajar Malaysia juga. Jadi dia ada maklumkan semuanya berada dalam keadaan selamat.

“Mengikut perancangan, minggu depan dia mahu balik beraya, tapi semua lapangan terbang di sana tutup buat masa sekarang, jadi tak tahu dia boleh balik atau tidak. Kena tunggu keadaan reda dulu,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar di Dewan Serai, pusat beli belah KLGCC, di sini, semalam.

Akui risau dengan insiden yang berlaku, pelakon drama My Famous Ex-Boyfriend itu lebih tenang apabila memberikan perkembangan terkini mengenai situasi di sana.

“Sudah tentu satu keluarga saya fikirkan dia apatah lagi dia sepatutnya balik minggu depan tapi disebabkan keadaan di sana, mungkin dia tak boleh balik.

“Tapi dia maklumkan keadaan di sana selamat, jadi kami okey. Dia pun tenang dan tak panik, bila dia tenang, kami pun tenang.

“Satu keluarga saya memang risaukan keadaan dia di sana, terutamanya emak saya dia sentiasa bermesej dengan ibu bapa pelajar di sana untuk tahu perkembangan semasa. Alhamdulillah setakat ini semua pelajar di sana selamat,” katanya.

Dalam masa sama, Qasrina mengakui tahun ini sepatutnya menjadi momen istimewa buat keluarganya untuk berkumpul memandangkan mereka baru sahaja menyambut kehadiran ahli keluarga baharu.

“Kami memang mengharapkan dapat meraikan Syawal bersama sebab tahun lepas dia tak balik, jadi sepatutnya tahun ini kami mahu berkumpul memandangkan kakak baru selamat melahirkan anak.

“Kakak saya bersalin juga dia putuskan nak balik tapi kalau tak dapat, tidak mengapa, asalkan dia selamat. Itu saja yang kami doakan dan kita doakan yang terbaik buat dia,” katanya lagi.

Sebelum ini, Israel dan AS melancarkan serangan berskala besar yang belum pernah terjadi yang bertujuan untuk menjatuhkan republik Islam.

Impak serangan tersebut, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei meninggal dunia dan Tehran melakukan serangan balas dengan melepaskan tembakan peluru berpandu di seluruh Timur Tengah.

Disebabkan itu, beberapa negara seperti Iran, Iraq, Israel, Syria, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penutupan separa ruang udara.

Situasi tersebut turut memberikan impak kepada pergerakan keluar masuk di negara berhampiran termasuk Mesir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI