fbpx
Letupan baharu kedengaran di bandar-bandar Teluk Dubai, Doha dan Manama hari ini, susulan serangan Iran di rantau Asia Barat sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel. - Gambar AFP

Lebih 29,000 rakyat Malaysia terjejas di Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kira-kira 29,000 rakyat Malaysia yang kini berada di rantau Asia Barat dilaporkan terjejas susulan penutupan ruang udara dan pembatalan penerbangan secara mengejut, khususnya di hab transit global utama seperti di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, dalam konteks ini, sekitar 8,500 rakyat Malaysia kini berada di UAE termasuk mereka yang bermastautin serta sedang transit atau terkandas akibat gangguan penerbangan ketika ini.

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 5,900 individu telah mendaftarkan keberadaan mereka secara rasmi dengan Perwakilan Malaysia dan jumlah itu dijangka berubah dari semasa ke semasa.

Katanya, perubahan angka itu selaras dengan pergerakan perjalanan dan pertambahan pendaftaran oleh rakyat Malaysia.

“Sejak tercetusnya krisis ini, Kedutaan Besar Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai telah beroperasi tanpa henti, termasuk pada hujung minggu.

“Semua talian telefon rasmi, talian pegawai bertugas serta saluran e-mel kekal aktif sepenuhnya.

“Dalam keadaan jumlah panggilan yang tinggi, para pegawai telah berusaha menghubungi semula panggilan yang terlepas serta membuat susulan secara langsung, termasuk melalui aplikasi pesanan ringkas,” katanya di sini lewat malam tadi.

KLN berkata, pihaknya memahami sepenuhnya kebimbangan dan tekanan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia susulan situasi itu.

Katanya, ia termasuk mengenai satu hantaran tular di media sosial yang mendakwa bahawa Perwakilan Diplomatik Malaysia di UAE gagal memberikan bantuan kepada seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai.

“Selain itu, bilik operasi di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya dan beroperasi 24 jam sehari bagi menyokong usaha penyelarasan serta menjawab pertanyaan orang awam.

“Perwakilan Diplomatik Malaysia juga telah melaksanakan satu rangka kerja keutamaan bagi memastikan kes-kes mendesak diberikan perhatian segera.

“Keutamaan diberikan secara aktif kepada individu yang mempunyai keperluan perubatan kritikal, mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal atau sumber kewangan, warga emas, keluarga yang mempunyai anak kecil, pelajar, serta mana-mana individu yang menghadapi kesulitan serius dan segera,” katanya.

Menurut KLN, pendekatan berstruktur itu bagi memastikan bantuan disalurkan terlebih dahulu kepada mereka yang berada dalam keadaan paling kritikal.

“Pada masa sama, kementerian ini amat menghargai kefahaman dan kesabaran mereka yang berada dalam keadaan selamat, kerana ia membolehkan pegawai memberi keutamaan kepada kes yang benar mendesak.

“Justeru, KLN memohon agar mereka yang berada dalam keadaan selamat memberikan sedikit ruang dan kesabaran sementara para pegawai terus berusaha tanpa henti menguruskan situasi yang sedang berkembang pesat ini untuk semua rakyat Malaysia yang terjejas,” katanya.

KLN turut menegaskan bahawa bantuan diberikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa sebarang perbezaan yang mana keutamaan mutlak adalah keselamatan dan kebajikan setiap warganegara.

“Dalam suasana ketidaktentuan serantau, penyebaran maklumat yang tidak lengkap atau mengelirukan boleh secara tidak sengaja menjejaskan keyakinan awam serta menyukarkan usaha penyelarasan yang sedang dijalankan.

“Sehubungan itu, kami menggesa semua rakyat Malaysia supaya merujuk hanya kepada saluran rasmi Kementerian dan terus berhubung secara langsung dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular digalakkan untuk terlebih dahulu menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat melalui nombor telefon dan alamat e-mel rasmi yang telah disediakan.

Sekiranya bantuan lanjut diperlukan, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya yang beroperasi 24 jam boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI