PETALING JAYA – Penyelarasan yang kukuh antara kementerian dan agensi amat penting supaya setiap dasar dan inisiatif yang dirangka benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, khususnya masyarakat desa di seluruh negara.
Perkara itu ditegaskan sempena Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dipengerusikan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan memberi penekanan kepada penyelarasan agenda strategik, pemantauan pelaksanaan program serta pengukuhan kerjasama antara semua pihak bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang berimpak tinggi.
“Sempena mesyuarat ini saya bersama barisan kepimpinan kementerian dan agensi menyelaraskan pelbagai agenda serta memastikan setiap perancangan dapat digerakkan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Insya-Allah, kita akan terus bekerja sebagai satu pasukan dalam memastikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya dalam satu hantaran di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














