JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik berdepan hukuman penjara 170 tahun selepas mengaku bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini terhadap tujuh pertuduhan melakukan amang seksual dan menghasilkan bahan penganiayaan seksual melibatkan tiga kanak-kanak, dua tahun lalu.
Hakim Nor Aziati Jaafar dan Madihah Zainol bagaimanapun menetapkan tarikh 13 Mac depan bagi penghukuman selepas fakta kes dibacakan terhadap tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 29.
Berhubung empat pertuduhan melibatkan kesalahan amang seksual, tertuduh didakwa ‘menyentuh’ badan dua mangsa berbeza berusia 6 tahun dan 5 tahun.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebat jika sabit kesalahan.
Manakala bagi tiga pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual pula, tertuduh didakwa merakam video tiga mangsa yang sama dalam keadaan pakaian mereka telah diselak sehingga menampakkan bahagian badan kanak-kanak terlibat di lokasi sama.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang di sini antara pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi, 5 April 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamed Imran Mohamed Sam dan Amar Ajwad Kalki Muhammad Azali Kalki.-KOSMO! ONLINE.














