MELAKA – Perbuatan seorang bekas tentera menceroboh masuk ke Mes Pegawai Kanan, Kem Terendak, Sungai Udang membawa padah apabila diperintah untuk membayar denda sebanyak RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Alif Duie, 39, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Mes Perwira 94 HAT Kem Terendak, Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah tanpa kebenaran yang sah dari pihak Angkatan Tentera Malaysia.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 pagi pada 28 Februari 2026 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pencerobohan disedari seorang koperal tentera ketika melakukan rondaan sebelum terlihat sebuah kereta jenis Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan di Mes Pegawai Kanan Kem Terendak.
Tertuduh kemudian mengakui menyimpan kunci bilik pegawai kanan sejak tamat perkhidmatan sebagai anggota tentera pada 2022.
Terdahulu,Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga tiga anak yang masih kecil berusia lapan hingga 12 tahun dan hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara keluarga, selain sudah insaf.
Tambahnya, tertuduh juga merupakan bekas tentera yang sudah berkhidmat selama 12 tahun sebelum berhenti pada 2022.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar.-KOSMO! ONLINE.














