fbpx
Shazeli menunjukkan tiga lagi suspek sindiket curi kabel yang diburu pada sidang akhbar di IPD Shah Alam. Foto oleh SADDAM YUSOFF

Sindiket curi kabel ‘terkubur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kegiatan licik sindiket curi kabel berselindung di sebalik pakaian pekerja syarikat telekomunikasi akhirnya terbongkar apabila sembilan individu ditahan dalam tiga serbuan berasingan, baru-baru ini.

Penangkapan kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 19 hingga 44 tahun itu dilakukan di Dengkil, Sungai Petani dan Ipoh pada 23 dan 26 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati sindiket tersebut aktif sejak tahun lalu dan menjadikan penyamaran sebagai pekerja telekomunikasi sebagai modus operandi utama bagi mengelak dikesan.

Katanya, mereka memakai vest, baju berlogo syarikat telekomunikasi , lampu beacon serta topi keselamatan kononnya sedang menjalankan kerja penyelenggaraan kabel.

“Setiap daripada suspek mempunyai peranan tersendiri sebagai pengorek dan bakar kabel.

“Tiga suspek wanita bertindak sebagai penjual dan mencari tempat penginapan bagi kumpulan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, semakan rekod mendapati sebahagian besar daripada mereka merupakan penjenayah tegar dengan pelbagai rekod lampau melibatkan kes curi kabel, samun serta dadah.

Malah katanya, dua daripada suspek juga masih dikehendaki bagi kes di Subang dan Perak.

“Selain itu, tujuh daripada suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan THC.

“Turut dirampas 12 batang kabel serta 20 unit kulit kabel milik syarikat telekomunikasi bersama peralatan jenayah termasuk besi pembuka lubang penyelenggaraan (manhole) yang telah diubah suai,” ujarnya.

Turut disita pelbagai aset yang digunakan dalam kegiatan tersebut seperti dua buah kenderaan masing-masing jenis BMW dan Nissan Navara serta sebuah lori Mitsubishi Canter selain penemuan dokumen transaksi jual beli dan salinan resit bank berjumlah RM60,000.

“Operasi ini telah berjaya menyelesaikan beberapa kes yang dilaporkan di Jinjang, Kupang dan Padang Serai. Semua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam esok dibawah Seksyen 379/414 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelasnya, pihaknya sedang mengesan tiga lagi suspek iaitu Muhammad Zaidi Zainal @ Abah, Mohamad Shuhaimi Ismail @ Mat Balad dan Muhd Hafidzul Fauzi Merican Fadeli Shah Merican @ Mican berusia 29 hingga 42 tahun dengan dipercayai salah seorangnya merupakan Ketua kumpulan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki diburu selepas dipercayai mencuri kabel dengan mengorek lubang di sekitar Seksyen 3 di sini.

Dalam kejadian pukul 5 pagi, 20 Februari itu disedari seorang penduduk lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang terdengar bunyi bising sebelum melihat suspek memotong kabel berhampiran rumahnya dengan aksi video penjenayah tersebut tular. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN