fbpx
Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyasarkan kira-kira 20,000 warga pendidik menyertai dua skim baharu yang diperkenalkan iaitu Skim Sejahtera dan Skim Kasih menjelang hujung tahun ini.

Sasar 20,000 warga pendidik sertai dua skim baharu YGMB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyasarkan kira-kira 20,000 warga pendidik menyertai dua skim baharu yang diperkenalkan iaitu Skim Sejahtera dan Skim Kasih menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, Skim Sejahtera dan Skim Kasih diperkenalkan dengan nilai manfaat berganda yang ditambah baik daripada skim terdahulu.

Menurutnya, kedua-dua skim berkenaan yang dilancarkan semalam menawarkan manfaat bukan sahaja untuk ahli YGMB, malah ia turut memberi perlindungan kepada pasangan dan anak-anak ahli.

“Skim Sejahtera menawarkan yuran RM65 sebulan manakala Skim Kasih pula RM69. Kedua-dua skim itu juga menetapkan bayaran bulanan serendah RM35 untuk pasangan dan RM25 bagi seorang anak.

“Dengan bayaran bulanan sebanyak RM129 untuk ahli, pasangan bersama seorang anak, pencarum akan mendapat perlindungan sebanyak lebih RM300,000,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Skim Sejahtera dan Skim Kasih Warga Pendidik YGMB di sebuah hotel di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad yang turut dihadiri oleh Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah.

Wan Munadi memberitahu, sehubungan itu, YGMB berharap lebih ramai menyertai kedua-dua skim berkenaan dalam usaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, golongan pesara juga boleh menyertai Skim Kasih dengan syarat umur tidak melebihi 64 tahun sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mendapat perlindungan hayat dan penyakit sehingga 69 tahun.

“Pelaksanaan dua skim baharu itu juga sebagai penghargaan kepada warga pendidik yang sentiasa menyokong usaha YGMB untuk memelihara kebajikan mereka.

“Kita mempunyai keahlian melebihi 100,000 warga pendidik di seluruh negara sejak lima tahun lalu dan menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan guru menyertai skim yang ditawarkan YGMB,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI