PUTRAJAYA – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang tular kerana memijak al-Quran akan didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan esok.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya berkata, pertuduhan ke atas pemuda itu akan dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kputusan itu dibuat selepas pihak AGC meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain terdapat keterangan yang mencukupi supaya pertuduhan dikenakan.
“AGC memutuskan untuk mendakwa orang yang disiasat (OYDS) di bawah Seksyen 295 KK kerana mencemarkan al-Quran dengan memijaknya yang mana perbuatan itu dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.
“Selain itu, AGC turut memutuskan untuk mendakwa OYDS di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Threads,” katanya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini memaklumkan akan meneruskan siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan perbuatan tular seorang individu yang memijak al-Quran baru-baru ini.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila seorang pengguna Thread didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.
Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah itu kemudian tampil memohon maaf kerana memuat naik gambar tersebut. – KOSMO! ONLINE














