PETALING JAYA – Tindakan segelintir pelanggan didakwa tidak jadi membeli dan meninggalkan troli masing-masing yang penuh dengan barangan di sebuah pasar raya di Ampang, Selangor, mengundang kemarahan orang ramai.
Menerusi gambar dimuat naik pengguna Thread Aizallaka, menunjukkan deretan troli diambil pelanggan pasar raya tersebut yang penuh dengan barangan serta didakwa ditinggalkan selepas tidak mahu menunggu lama untuk membayar di kaunter.
Tindakan itu menyebabkan pekerja pasar raya berdepan kesukaran kerana mereka terpaksa mengambil kesemua barangan berkenaan dan meletakkannya di rak.
“Sumpah penat kena susun balik. Maaf, ini bukan sistem down (masalah sistem), pelanggan terlalu ramai. Mungkin mereka penat beratur dan tinggalkan,” dakwanya.
Orang ramai memeberikan pelbagai maklum balas di ruangan komen dan mereka turut mengecam perbuatan tersebut yang menyusahkan pihak pasar raya berkenaan.
“Kita ni dah berapa puluh tahun merdeka, masih lagi perangai macam ni. Kasihan betul. Aku ni kalau tak jadi nak bayar barang, pusing semula tempat asal barang tu. Sebab aku tahu depa (staf) penat,” komen pengguna Thread Fasihah.
“Pernah tengok situasi macam ni. Dalam troli ada daging, ayam sampai menitik-nitik darah daging kat lantai dah lama dalam troli, kena tinggal,” komen Janejenab.
“Sama macam kita, nak beli barang tapi ramai beratur. Jadi ambil keputusan untuk susuan balik semua barang yang ada sebab kasihan nanti staf dia orang pula yang kena susun. Dah lah puasa,” kata Ivesya. – KOSMO! ONLINE














