SUNGAI PETANI – Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah sekolah di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori pendengaran mengalami kecederaan di kepala dan bahagian dalaman selain patah tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota yang bertugas di Pondok Polis Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang memaklumkan mangsa menerima rawatan ekoran kecederaan serius akibat terjatuh di sekolah.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika semua pelajar menghadiri perhimpunan. Mangsa pula dipercayai bersendirian di dalam kelasnya di tingkat empat bangunan yang turut menempatkan pejabat pentadbiran sekolah,” katanya hari ini.
Pihak polis merakam keterangan pelajar dan guru sekolah berkenaan selain meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan pelajar terbabit masih dirawat di HSAH,” katanya.
Difahamkan, remaja tersebut dalam keadan tidak sedarkan diri. – KOSMO! ONLINE














