fbpx
Gambar hiasan

Libat urus dengan syarikat penerbangan, bawa pulang jemaah terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri (KLN) telah memulakan sesi libat urus peringkat tertinggi dengan syarikat penerbangan komersial bagi mempercepatkan pengaturan penerbangan pulang rakyat Malaysia termasuk jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi.

KLN dalam satu kenyataan berkata, pada masa sama, status semua jemaah serta pelajar transit yang berdepan kelewatan perjalanan itu turut dilaporkan selamat.

“Di Arab Saudi, walaupun situasi keselamatan keseluruhan dan ruang udara kekal stabil serta beroperasi, sejumlah besar jemaah Malaysia serta sekumpulan pelajar transit sedang mengalami kelewatan perjalanan akibat penggantungan beberapa penerbangan komersial.

“KLN telah memulakan libat urus peringkat tertinggi dengan syarikat penerbangan komersial bagi mempercepatkan pengaturan penerbangan pulang,” katanya hari ini.

KLN berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah juga sedang bekerjasama rapat dengan Tabung Haji serta agensi pelancongan umrah dan haji bagi memastikan penginapan, makanan dan kebajikan jemaah terus terjamin.

“Pihak Konsulat turut menyelaras pengaturan sementara dan membantu pelajar transit mengikut keperluan.

“Susulan gangguan ruang udara serantau yang lebih meluas, tumpuan operasi KLN kini adalah kepada pengurusan pembatalan penerbangan komersial yang menjejaskan jemaah Malaysia yang berada di Arab Saudi,” katanya.

Selain itu, KLN terus memantau perkembangan di seluruh Timur Tengah dan mengekalkan penyelarasan rapat dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau terjejas. Ke

“Buat masa ini, rakyat Malaysia adalah dinasihatkan supaya menangguhkan semua perjalanan yang tidak mustahak ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

“Nasihat Perjalanan untuk warga Malaysia yang dikeluarkan pada 1 Mac kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak,” katanya.

Di negara-negara terjejas lain termasuk Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman, Qatar, Kuwait, Jordan, Syria dan Cyprus, situasi keselamatan keseluruhan kekal stabil walaupun terdapat insiden keselamatan udara yang terpencil di kawasan tertentu.

“Tiada rakyat Malaysia yang tercedera dan semua warganegara yang dihubungi kekal selamat.

“Perwakilan Malaysia terus menyalurkan bantuan konsular termasuk penyelarasan penginapan sementara dan urusan perjalanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI