JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan tergamak menjadikan anak perempuannya sebagai mangsa amang seksual, rogol dan seks luar tabii sejak Januari lalu hingga dua hari sebelum Ramadan.
Lelaki berusia 43 tahun itu bagaimanapun menerima padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini bersama kekasihnya.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zamir Suhaimee.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu berdepan empat pertuduhan amang seksual fizikal terhadap anak tidak sah tarafnya mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017).
Dia turut didakwa atas empat pertuduhan amang seksual bukan fizikal mengikut Seksyen 15C akta sama kerana melakukan perbuatan seksual di hadapan mangsa.
Selain itu, tertuduh berdepan dua pertuduhan meliwat mangsa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Lelaki berkenaan juga dituduh menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video mengikut Seksyen 5 AKSTK 2017.
Dia turut berdepan satu pertuduhan merogol anak kandungnya di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah setinggan antara 22 Januari hingga 17 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin dan S. Manushri tanpa menawarkan sebarang jaminan dan mahkamah menetapkan Rabu ini untuk fakta dan hukuman.
Dalam prosiding berasingan, kekasih tertuduh berusia 46 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak hingga menyebabkan kecederaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan syarat pasport diserah dan lapor diri di IPD Pontian, manakala sebutan semula ditetapkan pada 2 April depan. – KOSMO! ONLINE














