PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan beberapa negeri hingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan, antara daerah terjejas di Johor seperti Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Di Kedah, kawasan terlibat adalah Sik, Baling dan Kulim manakala di Negeri Sembilan membabitkan Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau.
“Amaran sama turut dikeluarkan bagi Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor yang meliputi Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
“Di Pahang hanya melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan,” katanya.
Tambah MetMalaysia, bagi Perak, kawasan terjejas adalah Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
MetMalaysia memaklumkan amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














