PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tidak lagi berselindung apabila meletakkan misi mempertahankan emas di Sukan Asia 2026 sebagai laluan paling realistik untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Presidennya, Gerard Monteiro berkata, pertemuan terbaru bersama pihak berkaitan berjalan lancar apabila isu kekurangan dana dan keperluan semasa persatuan akhirnya diberi perhatian sewajarnya.
“Saya rasa perbincangan berjalan dengan sangat baik. Kali ini mereka benar-benar faham ‘pain points’ yang kita lalui termasuk kekurangan dari segi pembiayaan. Banyak jurang berjaya kita rapatkan,” katanya.
Menurut beliau, antara isu utama yang diketengahkan adalah peruntukan untuk barisan jurulatih yang sebelum ini tidak mencukupi, namun kini dipersetujui untuk ditambah.
“Sebelum ini dana untuk jurulatih agak tidak mencukupi. Sekarang mereka sudah bersetuju untuk beri tambahan supaya persatuan tidak perlu terlalu memikirkan soal bayaran jurulatih,” jelasnya.
Ketika ini, SRAM memiliki lima jurulatih dan bakal menambah seorang lagi jurulatih tempatan yang juga bekas pemain negara dalam masa terdekat, sekali gus menjadikan enam jurulatih dalam program utama.
Dalam pada itu, fokus utama kini terarah kepada dua tonggak negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow yang diharapkan mampu menghadiahkan emas di Sukan Asia sekali gus mengesahkan tiket ke LA28.
“Kita tahu pemenang emas Sukan Asia akan layak ke Olimpik. Itu sasaran utama sekarang. Kita harap Sangari dan Ng Yow dapat menang emas dan pastikan tempat ke LA28,” ujarnya.
Sivasangari yang kini menghuni ranking keenam dunia disasarkan menembusi kelompok empat terbaik dunia dalam masa terdekat, manakala Eain Yow yang berada di luar kelompok 10 terbaik sedang berusaha memperkemas permainannya.
“Kita harap dia boleh pecah kelompok empat terbaik. Yow pula sedang bekerja keras dan buat beberapa perubahan dalam permainannya. Bila kita ubah sesuatu, kadar kesilapan memang akan meningkat sedikit, tetapi dalam jangka masa panjang ia akan berhasil,” katanya.














