fbpx
PENGASUH 'Baby Syifaa', Khairunnisa hadir pada prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen di sini. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP

Dua saksi dipanggil hari pertama bicara pengasuh ‘Baby Syifaa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Dua saksi termasuk pemilik rumah yang dijadikan sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di sini telah dipanggil untuk memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes pengabaian pengasuh ‘Baby Syifaa’ di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kedua-dua saksi tersebut adalah anggota polis Bahagian Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Mambau, Lans Koperal Siti Khairunnisa Muzlan, 34 dan pemilik rumah pusat asuhan, Belmond Liew Jian Loong, 40.

Perbicaraan terhadap tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 41, yang didakwa melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian ‘Baby Syifaa’ atau Nour Rania Asyifaa Yuseri berlangsung di hadapan Hakim N.Kanageswari.

Pihak pendakwaan terdiri daripada Penolong Pengarah Pendakwaan Negeri, Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron dan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, S.Kavittha.

Saksi kedua, Balmond memberitahu mahkamah bahawa dia membeli rumah yang dijadikan sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di sini pada 2019 dan menyewakannya kepada tertuduh sejak 23 September 2020 sehingga kejadian ‘Baby Syifaa’ ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian pada 2022.

Menurut Balmond, rumah lot sudut teres satu tingkat itu disewa dengan bayaran RM1,200 sebulan kepada tertuduh dan perjanjian sewa rumah telah ditandatangani.

“Selepas beli rumah ini, saya tidak pernah tinggal di sini dan proses mencari penyewa dilakukan oleh ejen, tetapi saya pernah berjumpa dengan Khairunnisa,” katanya.

Ketika disoal oleh pihak pembelaan, sama ada benar tertuduh tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang menyewa di rumah tersebut, Balmond mengakui tertuduh membayar sewa setiap bulan dan tiada masalah dengan jiran.

Saksi pertama pula merupakan anggota polis bertugas yang menerima laporan pertama berhubung kejadian melibatkan ‘Baby Syifaa’ di Balai Polis Mambau.

Perbicaraan akan bersambung pada 9 dan 10 Mac ini dengan seramai lapan hingga 10 orang saksi dijangka akan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung. – KOSMO! ONINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN