fbpx
Shazeli menunjukkan tabung masjid Seksyen 7 yang dicuri empat suspek tersebut di IPD Shah Alam. Foto oleh SADDAM YUSOFF

4 pencuri tabung masjid didakwa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Empat pencuri tabung masjid Seksyen 7 di sini akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini, esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ini selepas pihaknya menerima arahan pertuduhan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kata, hasil siasatan mendapati tindakan kumpulan suspek berusia 17 hingga 26 tahun tersebut hanya bermotifkan curi ekoran mereka terdesak menggunakan wang.

“Semakan mendapati kerugian dianggarkan sebanyak RM450. Tiada motif lain atau libatkan sebarang elemen provokasi atau sifat-sifat lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini hari ini.

Beliau berkata, aktiviti infaq dan sumbangan tabung masjid yang kini menggunakan kaedah transaksi pembayaran respons pantas (QR) merupakan satu inisiatif yang baik daripada pihak masjid.

Shazeli turut menasihatkan seluruh ahli jawatankuasa surau atau masjid supaya memberi perhatian mengenai penyelenggaraan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

“Ini kerana dalam kes ini, rakaman CCTV menjadi ‘starting point’ untuk polis untuk menjalankan tindakan selanjutnya. Kalau tiada, agak lewat memulakan sesuatu tindakan.

“Jadi, saya menasihatkan semua masjid dan surau di negeri ini mempraktikkan CCTV yang digunakan secara ‘live’ dan bukan bersifat decoy iaitu pasang tetapi tidak berfungsi,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kelicikan empat pencuri melarikan tabung Masjid Kristal, Seksyen 7, akhirnya tumpas apabila ditangkap di sekitar Seksyen 13, di sini selain di hadapan Sky Suite KLCC, Arte Subang West serta sebuah pangsapuri di Desa Tanjung, Seri Kembangan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mahu pelaku kes curi tabung masjid dikenakan tindakan tegas dan setimpal berlandaskan undang-undang kerana mencemarkan kesucian rumah Allah dan mengkhianati amanah umat Islam.

Baginda bertitah, kejadian kecurian itu dipandang serius tanpa mengira sesiapa pun dalang di sebaliknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI