BACHOK – Seramai 1,936 pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di enam negara Asia Barat dikenal pasti berada dalam keadaan selamat meskipun terkesan dengan ketegangan konflik yang memuncak di rantau tersebut.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, daripada keseluruhan jumlah itu, enam pelajar Malaysia berada di Iran,, Qatar (3), Kuwait (9), Emiriah Arab Bersatu (21),Arab Saudi (135) dan Jordan (1,762).
Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang permintaan rasmi daripada pelajar-pelajar yang berdaftar dengan pejabat Pendidikan Malaysia (EM) untuk pulang ke tanah air semasa konflik berlaku.
“Berdasarkan laporan yang diterima, kesemua masyarakat Malaysia khususnya pelajar-pelajar (di Asia Barat) berada dalam keadaan selamat.
“Bagaimanapun, kita tidak mendapat laporan sama ada mereka berada dalam keadaan panik atau terlibat dengan kecederaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Mahabbah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)@Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Masjid UMK Kampus Bachok di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry memberitahu, kerajaan akan terus memantau tahap keselamatan untuk memastikan pelajar Malaysia yang berada di negara konflik sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, EM di setiap negara terlibat diarah untuk memantau perkembangan pelajar Malaysia bagi menyalurkan laporan dari semasa ke semasa kepada kementerian.
“Semua pelajar Malaysia yang tidak berdaftar dengan EM dinasihatkan supaya memaklumkan keberadaan mereka kepada pihak kedutaan bagi memudahkan urusan pemantauan dan bantuan.
“Kita tidak akan mendiskriminasikan pelajar sama ada berdaftar dengan EM atau tidak kerana keselamatan mereka merupakan tanggungjawab kita. Pemindahan atau bantuan segera akan laksanakan dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














