BANGKOK – Seorang wanita di Thailand ditahan selepas memasang bom pada kereta milik perempuan simpanan suaminya, lapor portal berita Thaiger.
Mangsa memberitahu polis bahawa bom tersebut terjatuh dari keretanya lalu meletup di atas jalan di Don Hua Lor, menyebabkan bunyi dentuman yang kuat dan percikan api.
Pasukan Unit Pemusnah Bom berkata, bom tersebut adalah peranti letupan buatan sendiri (IED) yang diletakkan di dalam empat botol kaca, namun hanya satu daripadanya meletup.
“IED itu dipasang pada tangki minyak kereta dan dikawal dengan alat kawalan jauh. Namun, ia tidak meletup sepenuhnya dan hanya menyebabkan kerosakan kecil pada kenderaan.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata polis.
Polis mengenal pasti tiga suspek dan mereka diberkas di samping beberapa bahan bukti termasuk alat kawalan jauh yang dipercayai berkaitan dengan bom itu.
Suspek pertama memberitahu bahawa dia mendapati suaminya berlaku curang dan percaya bahawa mangsa ialah perempuan simpanan lelaki tersebut. – AGENSI














