PETALING JAYA – Beberapa penduduk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk rakyat Malaysia berkongsi pengalaman mendengar bunyi letupan kuat sehingga rumah bergegar susulan serangan udara antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) serta Israel, baru-baru ini.
Usahawan dan pempengaruh, Noor Irfan Khairi Noor Azmi, yang kini berada di Dubai berkata, sekitar petang semalam sebelum waktu berbuka, dia mendengar bunyi letupan bom.
“Sebelum waktu berbuka, dengar bunyi letupan bom tak jauh dari rumah saya. Sebentar tadi (semalam, lepas berbuka) dengar letupan bom kedua, bergegar rumah saya. Memang sah, memang terjadi sekarang ini serangan ke atas UAE,” katanya dalam satu hantaran di TikTok.
Noor Irfan menambah, dia ada mengambil video kejadian tersebut namun enggan memuat naik dan mendedahkan secara terbuka di media sosial sehingga terdapat kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa di UAE.
“Dekat sini undang-undang dia agak ketat, selagi sesuatu berita itu tidak sahih oleh kerajaan, tak masuk media, saya lebih baik tidak tunjukkan kepada anda. Kita doakan semuanya okey sahaja,” katanya.
Sementara itu, pelancong asing, Arthur Turner berkongsi situasi tegang apabila kelihatan peluru berpandu melintasi ruang udara di Dubai, awal malam tadi.
Dalam video tersebut, individu itu turut tertanya-tanya apakah keadaan sebenar di negara tersebut dan adakah selamat untuk pelancong bersiar-siar di sekitar Dubai ketika ini. - KOSMO! ONLINE














