BACHOK – Seorang polis bantuan yang didapati membawa masuk dadah ke dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Serdang di Kedah sudah dipecat daripada perkhidmatannya pada Oktober tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan lanjut mendapati, polis bantuan itu bukan sahaja membawa masuk dadah ke Puspen berkenaan, tetapi lelaki itu turut positif dadah.
Menurutnya, selain itu, dua lagi polis bantuan yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut akan menghadapi lembaga tatatertib sebelum sebarang keputusan ditentukan terhadap mereka.
“Kes ini (membekalkan dadah) dikesan sendiri oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada November 2024 dan tiga kakitangan sokongan (polis bantuan) itu didapati terlibat.
“Ketiga-tiganya terus dikeluarkan dari Puspen Serdang dan ditempatkan di AADK Negeri Kedah. Seorang yang positif dadah sudah melalui proses lembaga tatatertib dan telah dipecat pada Oktober lalu.
“Dua lagi yang negatif dadah masih ditempatkan di AADK Negeri Kedah dan akan melalui proses lembaga tatatertib pada 2 Mac ini. Jika ikut ukuran kita, ia merupakan satu dosa besar kerana dalam konteks ini sama seperti harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Bersahur Sempena Program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Puspen Bachok di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, segala proses yang dilalui oleh ketiga-ketiga individu itu memakan masa yang panjang kerana mereka perlu mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung dakwaan tersebut.
Menurutnya, jika tidak berpuas hati dengan proses yang dijalankan, mereka boleh membawa kes itu ke mahkamah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan terdapat pelanggaran arahan berhubung larangan membawa masuk bahan terlarang ke dalam Puspen Serdang, Kedah.
Menurut EAIC, ia susulan hasil siasatan ke atas aduan terhadap AADK mengenai 47 klien Puspen itu yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, siasatan dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]. – KOSMO! ONLINE














